Tuesday

Nak Terbit Buku Harus Kenal Editor Perolehan dahulu

Untuk anda yang bercita-cita untuk menerbitkan buku anda sendiri, jika mahu penerbit melihat cadangan manuskrip tersebut, orang pertama yang anda harus jumpa ialah Editor Perolehan.

Kenapa Editor Perolehan penting kepada penulis?
Siapakah Editor Perolehan ini?

Editor perolehan merupakan seorang kakitangan kanan di bahagian editorial. Beliau mempunyai peranan yang unik dalam organisasi kerana sungguhpun sebahagian besar lingkup tugas beliau menjurus kepada bidang editorial tetapi beliau juga harus memiliki ciri-ciri sebagai seorang pegawai pemasaran, pegawai perhubungan awam dan pengurus projek dalam organisasi terbabit.

Tugas-tugas editor perolehan dalam organisasi penerbitan adalah seperti berikut:

a) Pembangunan projek penerbitan baru
Editor perolehan bertanggungjawab untuk membangunkan pelan penerbitan (publishing plan) syarikat bagi tiga tahun ke hadapan. Pembangunan ini penting dengan kemahiran seseorang editor perolehan yang mahir dalam menentukan trend penerbitan buku di pasaran.

b) Perancangan judul tahunan
Selain menyediakan pelan penerbitan syarikat bagi tahun-tahun ke hadapan, editor perolehan juga bertanggungjawab dalam merancang judul-judul yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam senarai perolehan utama syarikat. Editor harus merancang judul-judul yang bersesuaian dengan polisi penerbitan syarikat dan jenis-jenis produk (jenis-jenis buku) yang dibenarkan oleh syarikat.

c) Pelantikan penulis dan pengarang
Editor perolehan diberi tanggungjawab oleh penerbit untuk mewakili penerbit untuk melantik pengarang dan penulis bagi satu-satu projek penerbitan. Tanggungjawab ini termasuklah mengenalpasti, mencari, berbincang dan memastikan pengarang bersetuju untuk menyerahkan manuskrip beliau untuk diterbitkan oleh penerbit. Tanggungjawab ini diberikan kepada editor perolehan kerana sebagai kakitangan kanan organisasi, editor perolehan layak untuk menjalankan perbincangan bagi pihak syarikat dan mahir dalam soal perhubungan penulis dan penerbit.


d) Pengurusan kontrak penulis-penerbit
Sebagai pegawai yang akan melantik penulis, editor perolehan juga haruslah mahir dalam soal perundangan penerbitan dan juga terma-terma perjanjian antara penulis dan penerbit. Perkara ini tidak dapat dielakkan oleh editor perolehan ketika menjalankan proses perolehan kerana terma dan syarat penerbitan merupakan antara perkara-perkara yang pertama akan ditanya oleh penulis atau wakil beliau. Sebagai penulis yang telah mencurah idea dan kreativiti penulisan beliau sudah semestinya beliau mahu mencari penerbit yang terbaik untuk menerbitkan hasil karya beliau. Pengurusan kontrak ini termasuklah soal-soal membincangkan terma dan syarat perjanjian dan memberi penerangan kepada penulis atau wakil beliau tentang segala klausa yang terkandung dalam surat perjanjian antara penulis dan penerbit itu.

e) Pengurusan projek penerbitan
Editor perolehan akan dilantik sebagai ketua projek bagi setiap judul yang beliau mulakan untuk memudahkan setiap projek yang dimulakan akan diuruskan oleh editor terbabit dari mula hinggalah buku diterbitkan. Dengan pelantikan sebagai ketua projek berkenaan, editor akan diberitahu tentang setiap perkembangan projek itu sama ada laporan itu datang daripada jabatan pengeluaran, jabatan pemasaran atau daripada jabatan akaun tentang soal pembayaran royalti kepada penulis.

d) Pegawai perhubungan penulis-pembekal-penerbit
Seseorang penulis itu tidak mengenali siapa-siapa lagi dalam organisasi penerbitan yang menerbitkan karya beliau selain editor perolehan. Editor perolehan diumpamakan sebagai ‘kawan baik’ kepada penulis. Hal ini sering terjadi kerana editor perolehan merupakan satu-satunya pegawai dari organisasi penerbitan itu yang bertemu dan berbincang dengan beliau sejak dari mula lagi. Polisi syarikat penerbitan yang besar juga sering melantik editor perolehan sebagai ketua dalam sesebuah projek yang telah beliau mulakan. Ini membolehkan editor perolehan itu memantau setiap perkembangan projek tersebut dan seterusnya memberi makluman kepada penulis tentang status manuskrip beliau. Selain penulis, editor perolehan juga mempunyai perhubungan yang rapat dengan pembekal yang lain seperti illustrator bebas, penterjemah, perekaletak dan sebagainya kerana setiap pihak tadi pada satu-satu masa pasti akan berhubung dengan editor perolehan kerana berurusan tentang projek penerbitan tersebut.

Jadi kalau mahu manuskrip anda menjadi pilihan utama untuk diterbitkan oleh penerbit, kenali editor perolehan di organisasi itu terlebih dahulu. Dengan memenangi hati editor perolehan, anda sudah sebelah kaki diterima masuk sebagai seorang pengarang.

No comments: